Hampir 2 bulan pemergian isteri tercinta. Hafiz masih tidak dapat menerima kenyataan. Dia selalu termenung. Kadang-kadang tidak mahu makan dan minum. Dia kelihatan sungguh kurus. Aku sentiasa menziarahi Hafiz di rumah ibunya. Setiap kali aku menziarahinya, aku hanya dapat melihat Hafiz dari luar biliknya, Hafiz masih kelihatan sama, langsung tiada perubahan, malahan dia tidak mahu bercakap dengan sesiapa, dia hanya mengangguk sebagai mahu dan menggeleng tanda dia tidak mahu. Aku meminta izin kepada ibu Hafiz untuk bercakap dengan Hafiz untuk beberapa minit sahaja, pada mulanya ibunya tidak memberi izin tetapi apabila aku pujuk beberapa kali, akhirnya ibunya membenarkan aku berjumpa dan bercakap dengan Hafiz. Aku ditemani oleh ibunya. "Assalamualaikum Hafiz.." Aku memberi salam. Hafiz hanya duduk di kerusi dan memandang ke luar jendela, dia langsung tidak menghiraukanku, malah dia tidak menjawab salamku, aku terus memandang ibunya, ibunya mengangguk tanda memberi aku duduk di kerusi sebelah Hafiz. Ibunya masih disitu, memerhatikan kami. "Hafiz..dulu fiz selalu marah Ain sebab Hafiz kata mulut Ain berat sangat nak jawab salam Hafiz. Jawab salam itukan wajib..kan Hafiz? " Aku tersenyum. Hafiz mengalih mukanya ke arahku. "Nur Ain..." kata Hafiz dan dia terus menangis. Aku lihat ditangannya ada sekeping gambar seorang perempuan. Bisik hatiku mungkin itulah isterinya. Petang itu hanya itu perbualan aku dan Hafiz, aku membiarkan dia menangis, kata ibunya Hafiz tidak pernah menangis seperti itu, hatta apabila isterinya meninggal, Hafiz hanya diam dan sesekali nampak dia mengesat air matanya tetapi petang itu Hafiz seperti mahu melepaskan semua di dalam hati. Sebelum pulang ibunya berkata "Terima kasih Nur Ain..makcik harap Nur Ain dapat selalu ziarah Hafiz dan bercakap dengan dia..sebab makcik nampak Nur Ain dapat buat Hafiz bercakap..sebelum ni dia tak mahu bercakap dengan sesiapa, hatta dengan makcik dan pakcik." Ibunya senyum sehingga menitiskan air mata dan erat memelukku. Aku merasakan kata-katanya penuh dengan pengharapan. "InsyaALLAH.." itu hanya mampuku katakan.
Bersambung....
No comments:
Post a Comment